Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Yahya Lampong meninggal dunia

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Kota Belud yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Datuk Haji Yahya Lampong meninggal dunia pada usia 86 tahun di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Berita pemergian Allahyarham dikongsikan anaknya, Masley Yahya, yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 pagi di Ampang Puteri Specialist Hospital (KPJ).

“Dengan penuh rasa dukacita, saya ingin memaklumkan bahawa bapa kami yang dikasihi, Datuk Haji Yahya Lampong, telah meninggal dunia dengan tenang kira-kira jam 6 pagi ini di Ampang Puteri Specialist Hospital (KPJ),” katanya.

Masley turut memohon orang ramai mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa bapanya, melimpahkan rahmat serta menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang soleh.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1940 merupakan antara tokoh politik veteran Sabah dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Belud dari 1982 hingga 1986.

Pada Pilihan Raya Umum 1982, Yahya memenangi kerusi Parlimen Kota Belud sebagai calon Bebas.

Beliau kemudiannya pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar di peringkat Persekutuan.

Yahya turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk selepas memenangi kerusi berkenaan atas tiket USNO pada Pilihan Raya Negeri Sabah 1985. Beliau menjadi wakil rakyat Tempasuk dari 1985 hingga 1986.

Sepanjang perjalanan politiknya, Allahyarham pernah bersama beberapa parti termasuk USNO dan UMNO sebelum menyertai PKR pada 2012.