ANDONG, REPUBLIK KOREA: Sabah menjadi tumpuan di Republik Korea menerusi penyertaan Malaysia sebagai Negara Tetamu pada Festival Tarian Topeng Antarabangsa Andong 2026, sekali gus menyediakan platform antarabangsa yang penting bagi mengetengahkan warisan budaya dan produk pelancongan negeri itu.
Festival yang menghimpunkan peserta dari 22 negara itu menyambut ulang tahun ke-30 penganjurannya tahun ini dan dijangka menarik lebih 1.6 juta pengunjung sepanjang tempoh 11 hari, dengan penganjur memperluaskan jangkauan antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong luar negara.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, status Malaysia sebagai Negara Tetamu memberi peluang kepada Sabah diketengahkan kepada khalayak antarabangsa yang besar, selain membuka ruang untuk memperkukuh hubungan pelancongan, kebudayaan dan pertukaran rakyat dengan Republik Korea.
“Penyertaan sebagai sebahagian daripada kehadiran Malaysia sebagai Negara Tetamu memberikan Sabah platform penting untuk membawa budaya dan produk pelancongan kita secara langsung kepada masyarakat Korea serta khalayak antarabangsa.
“Dengan penyertaan 22 negara dan lebih 1.6 juta pengunjung yang dijangka hadir sepanjang festival ini, ia merupakan peluang berharga untuk meningkatkan keterlihatan Sabah serta memperkenalkan destinasi kita kepada pasaran antarabangsa yang lebih luas,” katanya.
Kenyataan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Cleopatra @ Clare Asing, pada acara Hari Negara Tetamu Malaysia sempena festival itu, Sabtu lalu.
Turut hadir pada acara berkenaan, Datuk Bandar Andong, Kwon Ki Chang, wakil Majlis Bandaraya Andong dan Yayasan Korea bagi Kebudayaan dan Etika (Korean Foundation for Cultures and Ethics).
Jafry berkata, budaya mempunyai keupayaan unik untuk menghubungkan masyarakat tanpa dibatasi bahasa dan sempadan.
“Kita berada di sini bukan hanya untuk memperkenalkan Sabah, tetapi juga membina hubungan yang berkekalan dan mewujudkan peluang untuk kerjasama yang lebih erat antara Sabah dan Andong,” jelasnya.

Sepanjang festival, Sabah mengetengahkan kepelbagaian warisan etnik menerusi persembahan kebudayaan, kraftangan tradisional dan pavilion Sabah, selain promosi yang menampilkan tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi serta kebudayaan negeri.
“Ini merupakan peluang kepada masyarakat Korea dan pengunjung antarabangsa untuk merasai sekilas pengalaman mengenai Sabah, budaya, tradisi, destinasi kita dan yang paling penting, kemesraan rakyat Sabah.
“Kami berharap ia menjadi asas bermakna kepada pertukaran kebudayaan dan pelancongan yang lebih kukuh serta mendekatkan hubungan antara masyarakat kita,” ujar beliau.
Jafry turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Bandaraya Andong dan Yayasan Korea bagi Kebudayaan dan Etika kerana menyediakan platform antarabangsa kepada Malaysia dan Sabah, sambil menyatakan harapan untuk memperkukuh hubungan dengan Andong serta pasaran pelancongan Korea.