Empat sahabat maut, Viva dinaiki terbabas rempuh lori

KOTA KINABALU: Empat lelaki maut selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah lori lima tan yang diletakkan di bahu jalan di Taman Jaya Diri, Jalan Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kesemua mangsa berusia antara 21 hingga 24 tahun dilaporkan tersepit di dalam kenderaan berkenaan akibat rempuhan.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas dikerahkan ke lokasi.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 2.59 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva yang terbabas sendiri sebelum melanggar lori lima tan yang diletakkan di bahu jalan.

“Terdapat empat mangsa yang dilaporkan tersepit di dalam kenderaan dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa hampir sejam sebelum kesemua mereka berjaya dibawa keluar dari kenderaan pada jam 3.50 pagi.

Katanya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemudian mengesahkan kesemua mangsa meninggal dunia.

“Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 3.55 pagi selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.