KOTA KINABALU: Golongan pesara kerajaan disifatkan sebagai ‘veteran’ yang telah banyak berjasa kepada pembangunan Sabah menerusi tenaga, pengalaman dan buah fikiran sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abd Kassim Razali berkata, sumbangan golongan itu tidak seharusnya dilihat berakhir selepas bersara, sebaliknya pengalaman dan kepakaran yang dimiliki masih boleh dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat serta negeri
“Bukan mereka berperang guna senjata, tapi telah berperang menggunakan tenaga, menggunakan buah fikiran mereka untuk kemajuan negeri Sabah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Saringan Kesihatan 2026 yang menghimpunkan golongan pesara kerajaan di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Presiden Persatuan Persara Kerajaan Sabah, Datuk Wilfred Lingham dan Pengerusi Penganjur Program Kesihatan Anjuran Jawatankuasa Perhubunga Daerah Kota Kinabalu, Pesara Persatuan Pesara Kerajaan Sabah, Nanih Abah @Nancy Wong.
Abd Kassim berkata, jasa pesara kerajaan perlu terus dihargai kerana mereka antara individu yang pernah terlibat dalam membuat keputusan penting serta melaksanakan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan masyarakat.
Menurutnya, pengalaman golongan pesara yang pernah turun ke kampung-kampung untuk melihat sendiri keperluan rakyat ketika kemudahan jalan raya masih terhad merupakan antara bentuk pengorbanan yang wajar dikenang.
“Kerajaan dan rakyat Sabah terhutang budi kepada pesara-pesara ini kerana sewaktu bertugas dahulu, tuan-tuan, puan-puan dan datuk- datuk telah membuat keputusan-keputusan penting untuk negeri Sabah,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan sumbangan pesara sebagai sebahagian daripada asas kepada kemajuan Sabah yang dinikmati masyarakat pada hari ini.
Sehubungan itu, Abd Kassim berkata, golongan pesara wajar terus diberikan ruang untuk menyumbang pengalaman dan kepakaran mereka demi kepentingan masyarakat serta pembangunan negeri.
Dalam pada itu, bersempena dengan program hari ini, beliau turut mengambil peluang untuk memuji usaha Persatuan Pesara Kerajaan Sabah menganjurkan program saringan kesihatan secara percuma kepada para pesara.
Katanya, kesihatan merupakan kekayaan sebenar dan tidak seharusnya diukur berdasarkan harta semata-mata.
“Penyakit ini datang senyap-senyap. Kita tidak tahu, kadang-kadang dalam tidur, kadang-kadang daripada apa yang kita makan.
“Jadi yang menjadi masalah ialah kita tidak tahu kita ada kencing manis, kita ada tekanan darah tinggi, buah pinggang kita rosak sebab dia tidak berhenti bekerja.
“Untuk kesihatan ini pun sama, kita kena buat saringan.
“Apalah nilainya harta kalau kesihatan kita tidak baik,” katanya.
Tambah beliau, usaha menyediakan kemudahan saringan kesihatan kepada golongan pesara amat bermakna kerana ia membantu mereka mengambil langkah awal dalam menjaga kesihatan selepas bersara.