ESSCOM bongkar tiga lokasi simpan rokok, arak tidak bercukai di Beluran

BELURAN: Tiga lokasi dipercayai dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tidak bercukai dibongkar dalam Operasi Bersepadu Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di daerah ini, kelmarin dan semalam.

Operasi selama dua hari pada 28 dan 29 September itu turut menyaksikan pemeriksaan terhadap 70 premis perniagaan dan 170 kenderaan, dengan keseluruhan tindakan penguatkuasaan serta rampasan bernilai RM407,644.69.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, daripada jumlah berkenaan, tindakan penguatkuasaan membabitkan kompaun, saman, tunggakan atau bayaran serta tindakan berkaitan undang-undang bernilai RM293,450.16.

Katanya, rokok dan minuman keras tidak bercukai yang dirampas pula dianggarkan bernilai RM114,194.53 termasuk duti.

“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengeluarkan enam kompaun bernilai RM159,000, empat notis pematuhan serta mengarahkan pembayaran tunggakan berjumlah RM48,100.16.

“Keseluruhan tindakan penguatkuasaan JTK Sabah bernilai RM207,100.16 membabitkan kesalahan di bawah Ordinan Buruh Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan enam kompaun berjumlah RM30,000 selain tujuh notis pematuhan.

“Selain itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeriksa 14 majikan dan mengeluarkan lima notis pemeriksaan, manakala lima kes dikenal pasti untuk siasatan lanjut.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula memeriksa 170 kenderaan dan mengeluarkan 37 saman bernilai RM6,250,” katanya.

Victor berkata, Majlis Daerah Beluran turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM100 terhadap dua premis perniagaan kerana gagal menguruskan sampah dengan baik.

Beliau berkata, semua rokok dan minuman keras tidak bercukai yang dirampas dibawa ke Pejabat Kastam Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

Dalam operasi sama, katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa 56 individu, namun tidak mengesan sebarang kesalahan imigresen.

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula menjalankan pemeriksaan terhadap 15 individu dan mendapati semua dokumen yang dikemukakan adalah tulen dan sah.

“Operasi bersepadu itu membabitkan kekuatan 184 pegawai dan anggota ESSCOM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya

Menurut Victor, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis perniagaan, kenderaan dan lokasi terpilih bagi membanteras penyeludupan, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, barangan tidak bercukai serta kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa di daerah dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman masyarakat di Sabah Timur.

“Sehubungan itu, masyarakat digesa terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan atau kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan di ESSZONE,” katanya.