Lelaki warga Indonesia dihukum 13 tahun penjara sebabkan kematian jiran didakwa perkosa anak

TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian jirannya lsusulan kejadian yang membabitkan dakwaan rogol terhadap anak perempuannya dua tahun lalu.

Bapa kepada enam orang anak berusia 30 tahun dijatuhi hukuman itu oleh Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebelum digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 September 2024, serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian rakan senegara Martin Sili, 33, yang juga jirannya di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di sini, antara kira-kira 7.30 malam 31 Ogos 2024 hingga tengah hari 1 Sept 2024, dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Berdasarkan fakta kes, anak perempuan tertuduh yang ketika itu berusia 12 tahun memberitahu ibunya bahawa dia telah dirogol Martin (si mati) ketika dalam perjalanan pulang daripada satu majlis keramaian pada malam kejadian.

Tertuduh yang mengetahui perkara itu kemudian mengambil sebilah parang dan mencari Martin sebelum mengejarnya ke kawasan reban ayam berdekatan dan melibas mangsa beberapa kali.

Fakta kes turut menyatakan pemeriksaan di Hospital Tawau mendapati terdapat koyakan baharu pada bahagian sulit anak tertuduh, manakala analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati DNA Martin terdapat pada kepingan kuku anak tertuduh dan kesan air mani pada seluar dalamnya sepadan dengan DNA Martin.

Pendakwaan dikendalikan Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Jhessery P Kang.