Warga emas maut motosikal bertembung Hilux di Semporna

SEMPORNA: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dalam kemalangan di Kampung Mentelitip Pegagau, Jalan Semporna-Tawau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.22 pagi itu, mangsa, Kassim Anuar, 68, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialami.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba tiba kira-kira jam 7.45 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan motosikal.

“Terdapat tiga mangsa dalam kemalangan itu dengan seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa, Nurhayati Muhamad, 36, mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal daripada pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital.

Katanya, seorang lagi mangsa, Ajang Ali Baradun, 54, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.16 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.