Kecintaan kepada rasulullah perlu dibuktikan melalui akhlak

KENINGAU: Kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW perlu diterjemahkan melalui pengamalan akhlak mulia dan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.

Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Sr. Mohd Ishak Ayub berkata, penghayatan terhadap sirah dan sunnah Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui amalan kejujuran, amanah, kesabaran serta sikap prihatin terhadap masyarakat.

“Kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu dibuktikan melalui akhlak, tutur kata serta tindakan yang mencerminkan ajaran Baginda.

“Penghayatan nilai Islam seperti amanah, keadilan, kasih sayang, kesederhanaan dan ihsan mampu menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni, khususnya dalam daerah yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan latar belakang.

“Semangat Maulidur Rasul perlu diteruskan melalui pengimarahan masjid, pengukuhan institusi keluarga, pendidikan agama kepada generasi muda serta aktiviti kebajikan dan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Marilah kita menjadikan sambutan Maulidur Rasul pada hari ini sebagai dorongan untuk memperbaiki diri, memperkukuh keimanan dan mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW dan Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Keningau 1448H/2026M di Dewan Masyarakat Keningau, pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, penganjuran Mahrajan Kesenian Islam yang merangkumi persembahan nasyid, paluan kompang, marhaban, barzanji serta pertandingan sepanduk dan kaligrafi merupakan pendekatan baik dalam menyemarakkan syiar Islam.

“Mahrajan Kesenian Islam perlu dijadikan platform untuk mencungkil bakat generasi muda supaya mereka dapat mengembangkan potensi dalam bidang kesenian yang sihat, kreatif dan berlandaskan nilai-nilai murni.

“Kesenian berlandaskan nilai Islam bukan sekadar hiburan, malah berperanan sebagai medium dakwah untuk mendidik jiwa, menyampaikan mesej kebaikan dan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ishak berkata pembangunan daerah Keningau perlu bergerak seiring antara kemajuan fizikal dan ekonomi dengan pembangunan insan, pendidikan, akhlak serta kesejahteraan sosial.

“Kita mahu melihat Keningau terus berkembang sebagai sebuah daerah yang maju, aman dan sejahtera, dengan masyarakat yang bersatu padu serta mempunyai semangat untuk memajukan komuniti masing-masing,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran program seumpama itu dapat diteruskan bagi memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Semua pihak, termasuk jabatan kerajaan, institusi agama, pertubuhan masyarakat, golongan belia dan keluarga, diharap dapat bekerjasama dalam menjayakan program yang membawa manfaat kepada masyarakat.

“Seterusnya jadi pemangkin kepada usaha memperkukuh syiar Islam dan membina masyarakat Keningau yang berilmu, berakhlak mulia serta bersatu padu,” ujarnya.

Dalam pertandingan sepanduk dan kaligrafi, Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) muncul sebagai pemenang bagi kategori kementerian atau jabatan, manakala Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) memenangi kategori pertubuhan.

Sementara itu, Kumpulan Raudatul Mahabbah berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan nasyid sempena Mahrajan Kesenian Islam yang berlangsung pada 21 Oktober.

Turut hadir, Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Ahli Dewan Undangan Negeri Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi dan Pegawai Daerah, Norsih Nusuri.