KOTA KINABALU: Penampang dan Kota Kinabalu diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir selepas beberapa lokasi di kedua-dua daerah berkenaan dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam.
Di Penampang, sebanyak 15 kampung dan kawasan perumahan dilaporkan terjejas, manakala empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan penduduk yang terkesan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang memaklumkan, seramai 118 mangsa daripada 41 Ketua Isi Rumah (KIR) ditempatkan di empat PPS setakat laporan terkini.
Empat PPS berkenaan ialah Kompleks Sukan yang menempatkan tujuh KIR membabitkan 40 mangsa, Dewan Huguan Siou (11 KIR, 31 mangsa), St Paul Kolopis (tujuh KIR, 18 mangsa) dan Penampang Parish Hall (16 KIR, 29 mangsa).
Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Penampang Proper, Kampung Kolopis, Kampung Sarapung, Kampung Dabak, Kampung Tanaki, Kampung Pagansakan, Kampung Nambazan, Kampung Huba dan Kampung Kibabaig.
Turut dilaporkan terjejas ialah Kampung Limbanak, Kampung Penampang Kondis, Kampung Sugud, Kampung Pinapah, Vista Kiranau dan Kampung Kambau.
Beberapa laluan utama turut dinaiki air termasuk Jalan Tanaki-Bandason, Jalan Vista Kiranau, Jalan Inobong, Jalan Kampung Putaton, Jambatan Pagansakan dan Jalan Sarapung.
Jalan Kolopis-Boliga, Jalan Bantazon-Kolopis, Jalan Bontozon-Kampung Sarapung, Jalan Huba-Nambazan, Jalan Panglima Banting serta Jalan Kasigui, Kampung Kasigui turut terjejas.
Sementara itu, di Kota Kinabalu, kejadian banjir dilaporkan berlaku di beberapa lokasi termasuk Kampung Kiambalang, Kampung Rampayan, Kampung Kionsom dan Kampung Mansiang.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Kinabalu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian banjir di beberapa lokasi terbabit kira-kira jam 5.10 petang semalam.
Susulan keadaan itu, pengisytiharan bencana dan pembukaan PPS Dewan Masyarakat Manggatal dilakukan pada jam 8 malam.
Bagaimanapun, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Kota Kinabalu masih dalam proses pengesahan setakat laporan berkenaan.
Seramai 17 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 17 petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan bagi membantu operasi pengurusan bencana di daerah itu.
APM turut menggerakkan sebuah ambulans, sebuah kenderaan Light Rescue Vehicle (LRV) dan sebuah bot bagi membantu operasi sekiranya diperlukan.
Dalam pada itu, bacaan paras air Sungai Moyog di Penampang direkodkan pada 9.12 meter, iaitu paras bahaya.
Pemantauan keadaan cuaca dan situasi banjir di kedua-dua daerah berkenaan diteruskan oleh agensi berkaitan dari semasa ke semasa.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa serta berpindah ke PPS sekiranya diarahkan demi keselamatan.