82 PATI ditahan dalam 12 operasi di lima daerah

KOTA KINABALU: Seramai 82 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi kira-kira 12 operasi penguatkuasaan di lima daerah antara 26 September hingga 1 Oktober lalu.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi berkenaan dijalankan di beberapa lokasi strategik di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau.

Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap 288 individu sebelum 82 daripadanya ditahan kerana disyaki melanggar peruntukan undang-undang imigresen.

“Daripada jumlah itu, warga Filipina yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dewasa, 14 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

“Bagi warga Indonesia pula, ia membabitkan 11 lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala warga Pakistan membabitkan 24 lelaki dewasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berterusan di lokasi strategik seluruh Sabah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.

Sitti Saleha turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi JIM Sabah,” katanya.