Ruang fiskal Sabah bertambah, Belanjawan 2027 perlu dibelanja ikut keutamaan – Armizan

KOTA KINABALU: Peningkatan hasil negeri Sabah dijangka memberi ruang fiskal tambahan yang perlu dimanfaatkan berdasarkan keutamaan dan isu utama negeri menerusi Belanjawan Sabah 2027, kata Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, parti-parti berkaitan GRS telah diberi ruang mengemukakan pandangan awal mengenai perkara yang perlu dipertimbangkan dan dimasukkan dalam Belanjawan Sabah 2027.

“Bila hasil negeri meningkat, akan ada ruang fiskal tambahan tetapi ruang fiskal tambahan itu pertama perlu untuk dibelanjakan mengikut keutamaan. Apakah isu-isu utama negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Tertinggi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Armizan berkata, aspek tadbir urus juga perlu diberi perhatian bagi memastikan peruntukan dibelanjakan mengikut keutamaan serta diurus dengan baik bagi mengelakkan ketirisan yang boleh merugikan rakyat dan negeri.

“Yang keduanya adalah untuk memastikan dari segi governance pula, dibelanjakan mengikut keutamaan dan kedua dibelanjakan dengan urus tadbir yang baik supaya mengelakkan sebarang leakages yang akan merugikan rakyat dan negeri,” jelasnya.

Tambah beliau, Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut memberi ruang kepada parti-parti berkenaan untuk mengemukakan cadangan dan pandangan secara bertulis kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Katanya, pandangan yang dikemukakan itu akan menjadi antara input dalam mempertimbangkan perkara-perkara yang perlu dimasukkan dalam Belanjawan Sabah 2027.