KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau meminta Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2026 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat bagi memastikan proses penggubalannya mematuhi Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata langkah itu penting berikutan persoalan mengenai pematuhan proses konsultasi dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, khususnya berkaitan Perkara 79 serta Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.
“Tuaran tidak meminta RUU ini ditolak. Tuaran meminta prosesnya diperbetulkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Madius berkata dalam taklimat Kementerian Kesihatan pada Rabu, kementerian mengesahkan konsultasi rasmi dengan Kerajaan Negeri Sabah tidak dilaksanakan, sebaliknya hanya libat urus dengan beberapa pegawai Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Menurut beliau, libat urus dengan pegawai kementerian negeri tidak semestinya membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Sabah telah dirundingi secara rasmi.
“Adakah mereka diberi mandat mewakili Kerajaan Negeri? Adakah draf RUU dikemukakan secara rasmi? Apakah pendirian Kerajaan Sabah yang telah direkodkan?” soalnya.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana Butiran 7 Senarai III, Jadual Kesembilan meletakkan kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit dalam Senarai Bersama.
Katanya, Perkara 95B pula menjadikan Senarai IIIA sebahagian daripada Senarai Bersama bagi Sabah dan Sarawak, dengan Butiran 11 Senarai IIIA secara khusus menyentuh perkara berkaitan “pengadukan bahan makanan dan barangan lain”.
“RUU ini memperluas kawal selia kepada bahan bersentuhan makanan, pensampelan, penyiasatan, pelabelan, pengimportan dan penalti. Maka terdapat asas yang munasabah untuk menentukan sama ada RUU ini berhubungan dengan perkara dalam Senarai Bersama dan Senarai IIIA,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri N.14 Tamparuli iti turut mempersoalkan sama ada RUU berkenaan telah diperakui di bawah Perkara 79(1), tarikh penyiarannya bagi maksud Perkara 79(2), serta alasan keterdesakan sekiranya tempoh empat minggu selepas penyiaran belum dipenuhi.
Ujarnya, RUU berkenaan dibaca kali pertama pada 5 Oktober dan dijadualkan untuk Bacaan Kedua pada 8 Oktober, iaitu hanya tiga hari kemudian.
“Keselamatan makanan memang penting, tetapi kepentingan sesuatu RUU tidak menghapuskan proses Perlembagaan. Keterdesakan tidak menghapuskan konsultasi; sebaliknya Perkara 79(2) menjadikan konsultasi di bawah Perkara 161E sebagai syarat bagi laluan keterdesakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta agar sekiranya Bacaan Kedua RUU berkenaan diselesaikan, Menteri tidak meneruskannya terus ke peringkat Jawatankuasa Seluruh Majlis dan Bacaan Ketiga.
Sebaliknya, Madius mencadangkan supaya usul di bawah Peraturan Mesyuarat 54(2) dikemukakan bagi merujuk RUU itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Dewan Rakyat.
Beliau berkata jawatankuasa itu perlu mendapatkan pandangan rasmi Kerajaan Sabah dan Sarawak, memanggil Peguam Besar Negeri serta wakil kerajaan negeri yang diberi mandat, selain meneliti pemakaian Perkara 79 dibaca bersama Perkara 161E.
“Tuaran telah membawa cadangan ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof. Beliau sependapat bahawa RUU ini wajar dirujuk kepada JKPK Kesihatan,” katanya.
Madius seterusnya meminta komitmen Menteri supaya RUU berkenaan dirujuk kepada JKPK serta konsultasi rasmi dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak diadakan.
“Keselamatan makanan melindungi tubuh rakyat; keluhuran Perlembagaan melindungi tubuh Persekutuan. Kedua-duanya wajib kita pertahankan,” katanya.