850 kg minyak masak subsidi dirampas di perairan Tawau

TAWAU: Sebanyak 850 kilogram minyak masak bersubsidi dirampas dalam kes disyaki penyelewengan barang kawalan di perairan Batu 3, Tawau, semalam, dengan nilai keseluruhan barangan, bot dan enjin yang disita dianggarkan RM82,185.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan itu diserahkan oleh sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) kepada KPDN Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, penyerahan berkenaan dilakukan susulan aktiviti pemantauan dan risikan yang dijalankan di sekitar kawasan perairan terbabit.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan,” katanya.

KPDN Sabah memaklumkan, individu yang disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan yang melibatkan syarikat, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta.

KPDN Sabah menegaskan komitmennya untuk terus membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bekalan barangan keperluan bersubsidi tidak disalahgunakan.