UMS bimbing pelajar SMK Bongkol hasilkan baja kompos daripada sisa dapur

PITAS: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) memperkenalkan amalan pengkomposan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongkol melalui penghasilan baja kompos dan cecair nutrien daripada sisa dapur.

Projek yang dilaksanakan dari November 2025 hingga Oktober 2026 menerusi Program UniMADANI di bawah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran warga sekolah dalam mengurus sisa organik secara lestari.

Ketua Projek, Dr. Fera Cleophas berkata, inisiatif itu diharap dapat membolehkan warga sekolah meneruskan amalan pengkomposan secara kendiri selepas projek berakhir, selain menyebarkan ilmu berkenaan kepada komuniti setempat.

“Pemindahan ilmu menerusi projek ini diharap dapat memberi manfaat berterusan kepada warga SMK Bongkol, khususnya dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan sisa organik secara lestari.

“Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat terus diamalkan serta dikembangkan kepada komuniti setempat, walaupun tempoh pelaksanaan projek telah berakhir,” katanya.

Sepanjang pelaksanaan projek, peserta mengikuti latihan amali berkaitan penyediaan bahan kompos, pemantauan suhu dan kelembapan, pengudaraan serta penyelesaian masalah sepanjang proses pengkomposan.

Peserta turut didedahkan kepada kaedah menghasilkan dan menggunakan cecair nutrien melalui sesi perkongsian ilmu, demonstrasi dan pemantauan berterusan.

Pelaksanaan projek di sekolah itu diselaraskan guru pembimbing, Eva Carolina Edward, dengan sokongan pihak pengurusan SMK Bongkol, termasuk Pengetua, Meijil Totong dan Penolong Kanan, Winah Matanggi.

Projek berkenaan turut melibatkan penyelidik FST UMS, Profesor Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah, Ts. Dr. Nur Zaida Zahari, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Zul Hilmey Makmud, Profesor Dr. Kawi Bidin dan Profesor Dr. Sahibin Abd Rahim.