KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu memastikan aset dan sumber ekonomi negeri dimanfaatkan secara optimum bagi menjana pulangan komersial yang berpanjangan kepada rakyat menerusi kerjasama strategik antara SEDCO dengan PETRONAS.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemeteraian perjanjian pajakan tanah antara Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) dan PETRONAS bagi projek Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) serta Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.
Katanya, perjanjian berkenaan bukan sekadar urusan berkaitan tanah, sebaliknya mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan aset, infrastruktur dan sumber ekonomi negeri dapat dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan Sabah.
“Persoalan yang lebih penting bukanlah semata-mata berapa banyak sumber yang kita ada, tetapi berapa banyak nilai yang mampu kita wujudkan daripada sumber tersebut untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian perjanjian berkenaan.
Menurutnya, industri minyak dan gas merangkumi keseluruhan rantaian nilai, termasuk pembangunan infrastruktur, perkhidmatan sokongan, aktiviti pertengahan dan hiliran, pembangunan vendor, teknologi serta tenaga kerja berkemahiran.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri mahu perkembangan industri berkenaan mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas, membuka peluang pelaburan dan mengembangkan aktiviti perniagaan tempatan.
Ewon menambah, infrastruktur SOGT dan SSGP juga mempunyai potensi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitarnya, khususnya koridor Kimanis hingga Sipitang yang dilihat berpotensi berkembang sebagai kawasan pertumbuhan industri penting di Sabah.
Katanya, infrastruktur berkenaan perlu dilihat bukan sahaja berdasarkan fungsi operasinya ketika ini, tetapi juga dari segi keupayaannya untuk menyokong peluang pelaburan, pembangunan industri dan peningkatan sosioekonomi pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan memperluas penyertaan syarikat dan vendor tempatan supaya mereka berupaya mengambil bahagian dalam peluang industri yang lebih besar dan bernilai tinggi.
“Kita mahu syarikat dan vendor Sabah berkembang daripada sekadar melaksanakan kerja-kerja sokongan kepada membina keupayaan yang lebih kukuh dari segi teknikal, pengurusan, teknologi dan modal,” jelasnya.
Beliau turut menekankan pembangunan modal insan dengan memastikan anak Sabah mendapat peluang memperoleh kemahiran, pengalaman dan pendedahan yang diperlukan untuk membina kerjaya dalam industri minyak dan gas, khususnya dalam bidang teknikal dan profesional.
Mengenai peranan SEDCO, Ewon berkata, agensi itu perlu terus berkembang daripada sekadar pemilik dan pengurus aset kepada pemudah cara pelaburan serta rakan strategik kepada industri.
Katanya, SEDCO perlu lebih proaktif mengenal pasti aset, peluang dan ruang kerjasama dengan pemain industri, termasuk dalam pembangunan tanah, infrastruktur dan aktiviti komersial yang mampu memberikan manfaat bersama serta pulangan munasabah kepada negeri.
Beliau berharap kerjasama antara SEDCO dan PETRONAS dapat berkembang daripada hubungan berasaskan transaksi kepada kerjasama strategik yang lebih luas, sekali gus memastikan pembangunan sumber dan aset negeri diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang nyata dan berpanjangan kepada rakyat Sabah.