KOTA BELUD: Penganjuran Tamu Besar Kota Belud diharap mendapat sokongan geran tahunan bagi membolehkan acara berkenaan dilaksanakan dengan lebih baik pada masa hadapan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan berkata, beliau berharap geran tahunan dapat disediakan untuk penganjuran Tamu Besar, sama seperti sambutan Pesta Kaamatan dan Pesta Regata Lepa.
“Harapan kita, tadi Yang amat berhormat Ketua Menteri sempat beritahu, mungkin beliau akan meluluskan geran tahunan untuk sambutan Tamu Besar Kota Belud, sama seperti Kaamatan dan Pesta Regata Lepa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri menghadiri Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud tahun ini, di sini, pada Sabtu.
Majlis turut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag.
Beliau berkata, sokongan dana itu diharap dapat membantu meningkatkan mutu penganjuran acara berkenaan pada masa akan datang.
Fairuz berharap sekiranya geran tahunan dapat disediakan, penganjuran Tamu Besar Kota Belud pada masa hadapan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan terus mendapat sambutan masyarakat.
“Mudah-mudahan dengan adanya dana yang tersedia, insya-Allah kita akan dapat menganjurkan program Tamu Besar ini dengan lebih baik lagi,” ujar beliau.
Program itu turut menghimpunkan pelbagai persatuan dan agensi serta penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik, termasuk Bajau Sama, Iranun, Dusun, Tindal dan Bilung serta Cina.
Tamu Besar Kota Belud 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 18 Oktober menyasarkan kehadiran kira-kira 60,000 pengunjung sepanjang lapan hari penganjurannya.