KUDAT: ‘Kerajaan GRS disokong selamanya, kerusi P167 Kudat pasti kita tawan.’
Demikian rangkap pantun dilontarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong Chen Bin, yang memberi bayangan sasaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menawan kerusi Parlimen Kudat pada pilihan raya akan datang.
Pantun itu disampaikan ketika beliau berucap pada Program Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak Edisi DUN Tanjong Kapor, sempena lawatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ke Kudat, hari ini.
Menerusi rangkap berkenaan, Ben Chong menyatakan sokongan terhadap kepimpinan GRS, selain membayangkan sasaran politik gabungan itu untuk mendapatkan mandat di peringkat Parlimen.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan pelaksanaan program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
Katanya, Jualan Rahmah MADANI membolehkan penduduk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah, manakala Perkhidmatan Komuniti Bergerak memudahkan mereka mengakses perkhidmatan kerajaan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
“Bagi setiap keluarga, setiap penjimatan amat bermakna. Inisiatif seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah, warga emas, ibu bapa yang mempunyai ramai tanggungan serta peniaga kecil,” katanya.
Pada masa sama, Ben Chong merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas usaha kerajaan negeri menangani isu pemilikan tanah yang sekian lama menjadi harapan penduduk Kudat.
Beliau berkata, sebanyak 118 geran tanah dijadual diserahkan Ketua Menteri kepada rakyat di kawasan Parlimen Kudat pada malam program berkenaan.
Katanya, lima kampung di Kudat turut diwartakan dan memperoleh geran tanah kampung yang sah, iaitu Kampung Dampirit, Kampung Marang Parang, Kampung Loro Kecil, Kampung Simpang Mengayau dan Kampung Labuan Sama.
Menurutnya, Jabatan Perhutanan Sabah juga sedang melaksanakan kerja penyukatan semula sempadan tanah jabatan itu bagi membuka ruang kepada penduduk yang sudah lama menetap di kawasan tanah hutan simpan untuk mengemukakan permohonan tanah secara sah, tertakluk kepada proses dan kelulusan pihak berkuasa.
Ben Chong berkata, pembangunan sebenar bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan infrastruktur, sebaliknya turut merangkumi peningkatan kualiti hidup, peluang ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
Beliau berharap kerjasama kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan masyarakat dapat terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan di Kudat dapat dinikmati secara menyeluruh.