KUDAT: Urusan pembetulan maklumat nama dan nombor kad pengenalan pada geran tanah penduduk Sabah dipermudah menerusi Program NIC yang menyediakan perkhidmatan pembetulan secara percuma dan disasarkan selesai serta-merta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketepatan maklumat pada geran tanah penting bagi memastikan urusan berkaitan hak milik dapat dilaksanakan dengan lancar, termasuk tuntutan waris, jual beli dan urusan perbankan.
Beliau berkata demikian ketika membantu penduduk mendapatkan pengesahan dokumen bagi Program NIC – Pembetulan Nama dan Nombor Kad Pengenalan dalam Geran Tanah di Dataran Tomborungus, di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau bersama beberapa rakan Jaksa Pendamai (JP) turut memberikan khidmat pengesahan dokumen bagi membantu penduduk melengkapkan keperluan program berkenaan.
“Sebagai salah seorang JP sejak 2010, saya bersama beberapa rakan JP yang lain membantu membuat pengesahan dokumen berkaitan.
“Perkhidmatan JP adalah percuma berbanding keperluan pembayaran fi tertentu sekiranya penduduk menggunakan khidmat pesuruhjaya sumpah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Armizan berkata, inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah itu memberi kemudahan kepada pemilik geran tanah untuk membetulkan maklumat peribadi mereka, sekali gus mengurangkan risiko masalah dokumentasi ketika menguruskan hal berkaitan tanah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JTU Sabah kerana membawa perkhidmatan berkenaan terus kepada penduduk Kudat bagi memudahkan urusan masyarakat setempat.
Selain membantu mengesahkan dokumen, beliau turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan penduduk yang hadir mendapatkan perkhidmatan berkenaan.
“Alhamdulillah, dapat kita sama-sama membantu memudahkan urusan penduduk hari ini,” katanya.