Peta Malaysia tidak boleh dilukis sewenang-wenangnya, perlu ikut skala sebenar

TUARAN: Kerajaan Persekutuan digesa menetapkan piawaian kebangsaan bagi memastikan semua peta Malaysia yang diterbitkan atau dipaparkan kepada umum menepati bentuk, kedudukan dan perkadaran geografi sebenar negara.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, gambaran peta Malaysia yang tidak tepat boleh mengelirukan orang ramai, khususnya murid dan generasi muda, mengenai kedudukan serta hubungan geografi wilayah negara.

Beliau berkata, isu itu bukan sekadar berkaitan perbandingan keluasan, sebaliknya membabitkan ketepatan gambaran negara yang perlu dipelihara dalam semua bentuk penerbitan dan penyampaian maklumat.

Katanya, beliau pernah membangkitkan perkara itu selepas melihat peta Malaysia yang digunakan di Konsulat Malaysia di Mumbai, India, ketika menyertai lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kewangan dan Ekonomi sekitar awal 2025.

“Peta Malaysia tidak boleh dilukis atau dipersembahkan secara sewenang-wenangnya hanya kerana mahu menjimatkan ruang atau menyesuaikan reka letak.

“Peta membentuk kefahaman rakyat tentang rupa negara dan kedudukan wilayah-wilayahnya. Gambaran yang tidak tepat boleh mengelirukan, khususnya murid dan generasi muda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Madius menggesa Kerajaan Persekutuan menetapkan piawaian yang wajib dipatuhi kementerian, agensi kerajaan, penerbit, institusi pendidikan, media dan penyedia kandungan digital.

Beliau turut mencadangkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), menerajui usaha berkenaan dengan menyediakan peta rujukan rasmi serta garis panduan yang jelas.

Menurutnya, peta Malaysia perlu mengekalkan bentuk, kedudukan dan perkadaran geografi yang betul bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tidak menimbulkan kekeliruan.

Beliau berkata, sekiranya Semenanjung Malaysia dan Borneo dipaparkan dalam panel berasingan atau menggunakan paparan zum, skala setiap bahagian perlu dinyatakan dengan jelas.

Katanya, penggunaan garisan putus-putus bagi menunjukkan pemisahan antara paparan serta legenda di bahagian atas dan peta sisipan yang mengekalkan perkadaran sebenar juga boleh membantu pembaca memahami gambaran geografi Malaysia dengan lebih tepat.

“Peta yang tidak mengikut skala mesti dilabel dengan jelas,” katanya.

Madius berkata, beliau akan membawa perkara itu ke Parlimen menerusi usul Kamar Khas dan perbahasan Belanjawan 2027 bagi menggesa tindakan lebih menyeluruh di peringkat Persekutuan.

Beliau menegaskan peta bukan sekadar bahan hiasan, sebaliknya mewakili negara dan perlu dipersembahkan secara tepat serta bertanggungjawab.