RANAU: Seorang wanita tempatan maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dinaikinya terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam sungai di Kampung Nalapak, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 12.45 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.14 tengah hari dan mendapati sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max terbabas sendiri ke dalam sungai.
“Seorang mangsa wanita berada di dalam kenderaan itu sebelum anggota bomba bertindak mengeluarkannya dan memberikan rawatan awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang turut mendapat bantuan PDRM dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.14 petang selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya