KUNAK: Seramai 12 remaja lelaki ditahan dalam dua tangkapan berasingan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Padang Pekan Kunak yang tular di media sosial, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Ak Angong berkata, pihaknya mengesan video yang memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di tempat awam di daerah itu kira-kira jam 8 malam, 18 Oktober lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Padang Pekan Kunak.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak menjalankan operasi mengesan individu yang terbabit sebelum menahan 12 remaja lelaki dalam dua tangkapan berasingan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke IPD Kunak bagi membantu siasatan,” katanya.