TUARAN: Projek pertahanan tebing Sungai Tuaran bernilai RM16.47 juta akan memperkukuh perlindungan tebing sungai dan menambah nilai pembangunan Pekan Tuaran menerusi penyediaan denai sungai, jambatan baharu dan landskap.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah Ir. Siraja Bashora berkata, projek berkenaan mencerminkan pendekatan pembangunan yang bukan hanya memberi tumpuan kepada keperluan teknikal pengurusan sungai, tetapi turut mengambil kira kemudahan awam serta penambahbaikan persekitaran untuk manfaat masyarakat setempat.

Menurutnya, Projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing Sungai Tuaran itu dimulakan pada 13 November 2023 dan siap sepenuhnya pada 7 Jun 2026, dengan kos keseluruhan RM16.47 juta.
Beliau berkata, skop utama projek merangkumi pembinaan struktur pertahanan tebing sungai menggunakan kaedah armour rock sepanjang 900 meter, denai sungai sepanjang 900 meter, kerja-kerja pengaluran sungai, pembinaan jambatan baharu serta landskap.
“Bagi kami di JPS Sabah, kejayaan sesebuah projek bukan hanya diukur berdasarkan struktur fizikal yang berjaya disiapkan, tetapi juga sejauh mana hasil pembangunan tersebut mampu memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat dan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemuliharaan Sungai dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan berkenaan turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan apabila projek pertahanan tebing sungai dilaksanakan JPS Sabah, manakala penyediaan tapak letak kenderaan baharu dilaksanakan Pejabat Daerah Tuaran.
Katanya, kedua-dua inisiatif itu mempunyai fungsi berbeza tetapi saling melengkapi dalam menambah baik persekitaran serta menyediakan kemudahan kepada masyarakat yang berurusan di pekan berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha pemuliharaan sungai tidak seharusnya terhenti selepas projek pembangunan disiapkan, sebaliknya memerlukan pengurusan, pemantauan dan penyelenggaraan berterusan mengikut keperluan serta peruntukan yang diluluskan.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Tuaran supaya bersama-sama menjaga kebersihan, keselamatan dan keindahan kawasan berkenaan bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan dalam jangka panjang.