GUANGZHOU: Sabah berhasrat memperluas pelaksanaan inisiatif Kebun Dapur dengan meneroka penggunaan tanah terbiar milik pihak berkuasa tempatan sebagai kawasan kebun komuniti bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pertanian.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan itu antara perkara yang dikenal pasti menerusi lawatan delegasi ke Taman Pertanian Bandar Greater Bay Area di sini, yang memperlihatkan model pengurusan kebun komuniti di China.
“Inisiatif ini akan diterokai bersama agensi berkaitan di bawah sektor pertanian dan industri makanan serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), termasuk memperkenalkan konsep Kebun Dapur di kawasan sekitar bangunan jabatan dan agensi di bawah kementerian,” katanya.
Beliau berkata, konsep berkenaan memberi peluang kepada penduduk yang tidak mempunyai tanah sendiri, khususnya penghuni kondominium dan apartmen, untuk mengusahakan tanaman sayur-sayuran pada waktu lapang.
Selain pertanian komuniti, Jamawi berkata lawatan itu turut memberi pendedahan mengenai penggunaan bioteknologi, inovasi penyelidikan dan teknologi dalam meningkatkan nilai tambah serta daya saing produk pertanian.
Menurutnya, contoh penghasilan produk ketam bernilai tinggi dan penggunaan teknologi dalam penternakan ayam menunjukkan bagaimana penyelidikan saintifik mampu meningkatkan nilai produk serta pulangan ekonomi kepada petani dan penternak.
“Sabah mempunyai usahawan muda yang berpotensi menceburi sektor pertanian, perikanan dan industri makanan melalui gabungan sokongan kerajaan, modal swasta, teknologi serta rangkaian perniagaan,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah atas penganjuran lawatan berkenaan yang membuka ruang kepada penerokaan kerjasama dan peluang pelaburan dalam sektor pertanian serta industri makanan antara Malaysia dan China.