11 lelaki ditahan selepas dua kumpulan bergaduh di pasar Sandakan

SANDAKAN: Seramai 11 lelaki, termasuk enam warga Filipina, ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan antara dua kumpulan di kawasan Pasar Bandar Ramai-Ramai, di sini, malam kelmarin.

Kesemua suspek berusia antara 15 hingga 46 tahun itu terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi talian kecemasan NG999 pada jam 7.36 malam, 16 November lalu.

Menurutnya, maklumat awal mendapati pergaduhan berkenaan dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan lelaki yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam pada hari sama.

“Perselisihan faham itu kemudian berlarutan sehingga mencetuskan satu lagi pergaduhan pada sebelah malam yang turut dirakam sebelum videonya tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menjalankan tindakan sehingga berjaya menahan 11 lelaki terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri bagi menyelesaikan sebarang perselisihan faham, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Orang ramai turut diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan video tular itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu siasatan polis,” katanya