Kolaborasi UMS, SMK Tansau perkukuh minat pelajar terhadap bidang STEM

PENAMPANG: Seramai 106 pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau menyertai Program STEM @ SMK Tansau anjuran Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi meningkatkan minat dan pemahaman mereka terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurut kenyataan FST, program selama dua hari itu menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan sesi perkongsian bersama ahli akademik UMS bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aplikasi STEM dalam kehidupan seharian, selain peluang melanjutkan pengajian dan kerjaya dalam bidang berkenaan.

Antara pengisian program ialah sesi perkongsian oleh ahli akademik FST, Dr. Fariedah Lal Chan yang mengupas peranan matematik dalam kehidupan seharian.

Penganjur program, Profesor Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah pula memperkenalkan bidang bioteknologi serta kaitannya dengan perkembangan sains dan teknologi.

Program turut menampilkan aktiviti permainan matematik secara berkumpulan yang dikendalikan Dr. Diana Hassan bersama pasukan fasilitator bagi menggalakkan pelajar berfikir secara kritis, menguji idea dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah.

Pada hari kedua, Profesor Dr. Ho Chong Mun mengadakan sesi perkongsian bersama pelajar Tingkatan Tiga dan Empat, ibu bapa serta guru STEM SMK Tansau mengenai kepentingan pendidikan STEM dan laluan pengajian yang boleh diterokai.

Sesi berkenaan turut menekankan peranan ibu bapa dan guru dalam membimbing pelajar mengenal pasti pilihan pendidikan dan kerjaya berdasarkan minat serta potensi masing-masing.

Selain itu, forum STEM yang menampilkan Pengetua SMK Tansau, Dr. Yong Yen Ping @ Miller Yong sebagai panel turut diadakan bagi membincangkan cabaran pembelajaran STEM serta peranan universiti, sekolah dan keluarga dalam menyokong penguasaan bidang berkenaan.

Penganjuran program itu diharap dapat meningkatkan pemahaman pelajar mengenai kepentingan asas matematik dan sains dalam pembangunan teknologi, penghasilan inovasi serta penyelesaian masalah dalam kehidupan sebenar.

Kerjasama antara UMS dan SMK Tansau juga diharap dapat diteruskan bagi memperluas pendedahan pelajar terhadap bidang STEM, sekali gus mengembangkan kreativiti dan keyakinan mereka dalam menentukan hala tuju pendidikan serta kerjaya.