Industri pelancongan Sabah semakin rancak, rekod RM14.4 bilion tahun lepas

KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah mencatatkan nilai ditambah sebanyak RM14.4 bilion pada 2025, meningkat 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyumbang 12.3 peratus kepada ekonomi negeri berbanding 11.9 peratus pada 2024.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pencapaian itu membuktikan sektor pelancongan terus menjadi antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negeri serta penjana peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, berdasarkan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sabah 2025 yang diterbitkan hasil kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perdagangan runcit merupakan penyumbang terbesar kepada Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP), iaitu sebanyak 45.6 peratus.

Ia diikuti sektor penginapan serta penyediaan makanan dan minuman yang menyumbang sebanyak 30 peratus.

Katanya, industri berkaitan pelancongan turut menyediakan peluang pekerjaan kepada 415,100 orang pada 2025, meningkat 7.1 peratus berbanding 387,600 orang pada tahun sebelumnya.

“Hampir satu daripada setiap empat individu yang bekerja di Sabah terlibat dalam industri berkaitan pelancongan, sekali gus menunjukkan sektor itu menjadi sumber ekonomi dan mata pencarian kepada ratusan ribu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Jafry berkata, penggunaan pelancongan dalaman turut meningkat 14.2 peratus kepada RM13.4 bilion berbanding RM11.7 bilion pada 2024.

“Perbelanjaan pelancongan inbound pula meningkat 20.8 peratus kepada RM7.5 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik berkembang 6.8 peratus kepada RM5.9 bilion,” jelasnya.

Menurutnya, data berkenaan penting dalam membantu kerajaan negeri memperkukuh perancangan dan penggubalan dasar berasaskan maklumat yang lebih menyeluruh, selain menilai sumbangan sebenar industri pelancongan terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat.

Katanya, laporan itu akan menjadi rujukan penting kepada KePKAS dalam merangka strategi pembangunan sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DOSM atas kerjasama dalam menjayakan penerbitan laporan berkenaan.

Jafry berkata, kerajaan negeri komited memastikan pertumbuhan industri pelancongan Sabah terus mampan, berdaya saing dan inklusif supaya manfaat pembangunan sektor itu dapat dinikmati secara meluas oleh rakyat.

“Apabila pelancongan Sabah berkembang, ekonomi negeri mesti bertambah kukuh dan rakyat Sabah mesti turut menikmati manfaatnya,” katanya.