Gangguan elektrik di Pantai Timur Sabah: SE aktifkan bilik gerakan, pemulihan giat dijalankan

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) mengaktifkan Bilik Gerakan bagi menyelaras usaha pemulihan bekalan elektrik yang terjejas di beberapa kawasan Pantai Timur Sabah susulan gangguan pada sistem penghantaran elektrik awal pagi tadi.

SE dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan itu dikesan pada jam 6.04 pagi, dengan pasukan teknikal kini giat melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu secara berperingkat.

Menurutnya, usaha pemulihan sedang dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terjejas dapat dipulihkan.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

SE turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna susulan gangguan bekalan elektrik berkenaan.