Cubaan seleweng minyak bersubsidi di Semporna gagal, lelaki ditahan

SEMPORNA: Cubaan menyeleweng barang kawalan bersubsidi di perairan Pulau Boheyan di sini berjaya dipatahkan apabila pelbagai barangan termasuk petrol, gas petroleum cecair (LPG), enjin sangkut dan sebuah bot kayu dirampas dalam operasi awal pagi semalam.

Dalam kejayaan itu, seorang lelaki warga tempatan turut ditahan selepas disyaki memiliki dan menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, kes terbabit diterima pihaknya daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak hasil operasi yang dijalankan di kawasan perairan Pulau Boheyan, Semporna pada jam 5.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati sebanyak 250 liter minyak petrol, 200 liter minyak petrol bercampur minyak 2T, empat tong gas LPG, dua enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 85 kuasa kuda (HP) dan 75HP serta sebuah bot kayu berwarna biru dirampas.

“Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM1,779.60 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk barang bukan kawalan berjumlah RM13,079.60.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran bertulis bagi memiliki dan menyimpan barang kawalan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, KPDN Semporna membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.

Katanya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

KPDN Sabah turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyelewengan barang kawalan kepada KPDN bagi membantu usaha membanteras ketirisan subsidi kerajaan.