TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai RM24.2 juta menerusi operasi di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna semalam.
Pengarah Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairul Anuar Abd Majid @ Razali, berkata kejayaan itu dicapai menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris hasil risikan yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu berhubung kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kapal ronda Maritim Malaysia, KM Kidurong mengesan sebuah kapal kargo dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan sebelum pemeriksaan dilakukan.
“Hasil pemantauan mendapati terdapat aktiviti pemindahan beberapa kotak berwarna coklat dari kapal kargo ke sebuah bot kumpit yang berada berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua vesel berkenaan menemukan sejumlah besar rokok putih yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan serta dokumentasi yang sah,” katanya pada sidang media di Tawau, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak 2,956 peti rokok jenama Bossqu, 40 peti New Iris, 15 peti Berlin dan tiga peti New Far dirampas, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 3,014 peti.
“Nilai rampasan rokok termasuk cukai dianggarkan RM24.2 juta, manakala nilai keseluruhan termasuk dua vesel yang digunakan dalam kegiatan itu dianggarkan mencecah RM65.7 juta,” katanya.
Khairul Anuar berkata, siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai dibawa dari Vietnam sebelum dipindahkan ke bot pengangkut untuk diedarkan secara haram ke pasaran Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Menurutnya, sindiket menggunakan kapal kargo sebagai pembawa utama sebelum memindahkan muatan ke bot kumpit bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Dalam operasi sama, katanya, seramai 20 kru dan nakhoda berusia antara 26 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Mereka terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, India dan Myanmar.
“Kesemua mereka ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta dokumen kapal yang sah, selain bot kumpit yang digunakan juga tidak mempunyai pendaftaran,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, kedua-dua kapal bersama barang kes telah diiring ke Jeti Maritim Malaysia Zon Tawau untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang menjejaskan hasil negara serta keselamatan perairan negara.
“Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut bagi membantu pihak berkuasa,” katanya.
