Pengedar syabu ditahan, 30 PATI dicekup dalam Op Tapis Bersepadu

TAWAU: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan bersama 50.35 gram syabu dalam Operasi Tapis Bersepadu di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini.

Operasi selama dua hari bermula 7 hingga 8 Julai itu turut menahan 31 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan ketum, selain 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.

Menurutnya, seramai 169 pegawai, anggota dan petugas daripada IPD Tawau, IPD Semporna, IPD Kunak, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau, Pasukan Polis Marin (PPM), JIM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terbabit dalam operasi itu.

“Hasil operasi, seorang suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah dan polis merampas 50.35 gram syabu.

“Seorang lagi individu turut ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati memiliki 0.24 gram syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang individu mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 selepas merampas sembilan liter cecair ketum dan 2,351.65 gram serbuk ketum.

Katanya, seramai 28 individu lagi ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menyalahgunakan dadah.

“Seramai 36 individu menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 28 didapati positif dadah, manakala lapan lagi negatif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wilynton berkata, seramai 30 PATI turut diambil tindakan sebelum diserahkan kepada JIM Tawau kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen.

Sementara itu, JPJ Tawau mengeluarkan 66 saman dan notis atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang operasi dijalankan.

Menurut beliau, polis akan terus memperhebat operasi bersepadu dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah, selain memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah dan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.