PENAMPANG: Polis berjaya menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada Khamis, dengan rampasan keseluruhan 165.22 gram serbuk ekstasi dan 3.17 gram ketamin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga asing.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 2 petang di Beverly Hills, Jalan Bundusan, membabitkan penahanan seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 83.83 gram dan ketamin seberat 1.42 gram.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, polis kemudian menjalankan satu lagi serbuan kira-kira jam 3.40 petang di sebuah kondominium di daerah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan kedua itu, dua lelaki tempatan berusia 22 tahun berjaya ditahan.
“Polis turut merampas serbuk ekstasi seberat 81.39 gram dan ketamin seberat 1.75 gram,” katanya.
Arisanti berkata, selain dadah, polis turut menyita beberapa kenderaan dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau pemenjaraan sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menjauhi penyalahgunaan dadah dan menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang kegiatan pengedaran atau jenayah berkaitan dadah.