KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada Khamis.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua PATI terbabit terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita dewasa yang diterbangkan ke Guangzhou, China selepas selesai menjalani proses perundangan di negara ini.
Menurutnya, mereka juga sudah melepasi proses pengesahan dokumen perjalanan oleh Kedutaan China di Malaysia sebelum dibenarkan menyertai program penghantaran pulang.
“Program itu dilaksanakan oleh Depot Imigresen Papar pada 9 Julai lalu sebagai sebahagian usaha berterusan JIM Sabah mengurus pemindahan tahanan PATI ke negara asal masing-masing.
“Sehingga hari ini, seramai 4,005 PATI berjaya dipindahkan ke negara asal membabitkan pelbagai warganegara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,578 adalah warga Filipina, diikuti Indonesia (1,207), Pakistan (100), China (84), Vietnam (18) dan lain-lain warganegara seramai 18 orang.
Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan serta pemindahan PATI yang sudah selesai menjalani tindakan undang-undang mengikut prosedur ditetapkan.
Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI kerana tindakan itu menyalahi undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran atau kegiatan PATI diminta menyalurkannya melalui saluran rasmi JIM Sabah bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.