BEAUFORT: Seorang lelaki tempatan dikenali dengan gelaran ‘King Kong’ ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dengan anggaran nilai jualan mencecah RM204,200.
Suspek berusia 39 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerusi operasi khas di Taman Pasir Putih, Putatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK).
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh, berkata penahanan itu dibuat hasil risikan dan siasatan terperinci selepas polis memperoleh keterangan daripada lima saksi yang mengaitkan suspek dengan aktiviti pengedaran dadah sejak tahun 2025.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai aktif mengedar syabu dengan anggaran nilai jualan RM204,200.
“Suspek juga mempunyai rekod pemenjaraan terdahulu mengikut Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah berkenaan bagi membantu siasatan, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tangkapan itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Sementara itu, beliau menegaskan IPD Beaufort tidak membezakan pengedar dadah mengikut skala kegiatan mereka dan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua individu yang terbabit.
“Tiada istilah ‘ikan bilis’ dalam usaha membanteras pengedaran dadah. Pengedar dadah walaupun berskala kecil tetap akan diburu dan dikenakan tindakan.
“Individu yang dikenal pasti terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selain tindakan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.
Champin berkata, pihaknya akan terus memperhebat usaha membanteras sindiket pengedaran dadah bagi memastikan Beaufort dan kawasan sekitarnya bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.