KOTA KINABALU: Seramai 18,752 penerima di Bahagian Kota Kinabalu menerima bantuan kebajikan bulanan membabitkan peruntukan keseluruhan RM48.62 juta setakat Jun tahun ini.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal, berkata bantuan itu disalurkan menerusi lapan skim kebajikan yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) bagi membantu golongan yang layak.
Beliau berkata, bagi bantuan di bawah kerajaan negeri, Skim Bantuan Am (SBAM) merekodkan 6,489 penerima dengan peruntukan RM8.61 juta, manakala Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY) melibatkan 640 penerima membabitkan RM1.16 juta.
“Bagi bantuan di bawah kerajaan Persekutuan pula, Bantuan Warga Emas (BWE) mencatatkan jumlah penerima tertinggi iaitu 7,196 orang, diikuti Bantuan Kanak-Kanak (BKK) seramai 1,402 penerima, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik seramai 1,538 penerima, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) 910 penerima, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) 569 penerima dan Bantuan Anak Pelihara (BAP) lapan penerima,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Grace Lee Li Mei, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Rina berkata, kerajaan negeri masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan negeri antara RM200 hingga RM350 sebulan, manakala sebarang cadangan untuk menaikkan kadar bantuan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri.
Katanya, bagi bantuan kebajikan Persekutuan, sebarang kenaikan kadar bantuan tertakluk kepada keputusan kerajaan Persekutuan yang diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan Persekutuan.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan meningkatkan syarat kelayakan pemohon bantuan berdasarkan Panduan Garis Kemiskinan (PGK) semasa.
“Had pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak dipertimbangkan dinaikkan daripada RM1,198 pada 2025 kepada RM1,236 tahun ini, manakala pendapatan per kapita meningkat daripada RM322 kepada RM348,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan lebih ramai rakyat yang benar-benar memerlukan dapat menikmati bantuan kebajikan selaras dengan perubahan kos sara hidup.