Rokok seludup lebih RM500,000 dirampas, penjaga stor dicekup di Labuan

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 396,240 batang rokok disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM500,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Keling, di sini, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata operasi yang dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wilayah Persekutuan Labuan itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga stor.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan ratusan ribu batang rokok disyaki tidak bercukai daripada pelbagai jenama dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan melebihi RM500,000.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, pada isnin.

Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyimpanan barangan tidak bercukai yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan hasil negara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah kepada pihak polis agar tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.