KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri disaran mempertimbangkan pelaksanaan Program Pensijilan Kompetensi bagi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung berasaskan standard antarabangsa ISO/IEC 17024.
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tamparuli) berkata, selain kenaikan elaun seperti yang dinyatakan oleh rakan-rakan wakil rakyat, usaha memperkukuhkan institusi kepimpinan adat ini memerlukan pembangunan kompetensi pemegang jawatan.
“Pensijilan ini boleh merangkumi bidang kepimpinan, tadbir urus, undang-undang, adat anak negeri, integriti, penyelesaian konflik, pengurusan komuniti dan penyampaian perkhidmatan awam.
‘Hari ini, tanggungjawab Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung jauh lebih besar daripada dahulu kerana mereka menjadi orang pertama dihubungi apabila berlaku kematian, kebakaran, banjir, bencana alam serta pelbagai urusan pentadbiran yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berbahas mengenai Rang Undang-Undang Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Khamis.
Menurut Madius, tujuan program pensijilan itu bukan untuk menyusahkan pemegang jawatan berkenaan tetapi untuk mengangkat martabat institusi kepimpinan adat Sabah supaya lebih profesional dan diyakini masyarakat.
“Saya berharap Kerajaan akan terus menilai keberkesanan pelaksanaan Rang Undang-Undang ini dan mempertimbangkan penambahbaikan yang bersesuaian, termasuk memperkenalkan Program Pensijilan Kompetensi berasaskan standard antarabangsa ISO/IEC 17024.
“Ia juga bagi mengangkat martabat institusi kepimpinan adat Sabah supaya lebih profesional, lebih diyakini dan menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” jelasnya.
Madius turut menyentuh dua fasal utama dalam Rang Undang-Undang berkenaan iaitu Fasal 4 yang memperuntukkan fungsi dan tanggungjawab, serta Fasal 5 yang memperuntukkan elaun, faedah dan keistimewaan mereka.
“Sekiranya kedua-dua fasal ini terus diperkasakan dari semasa ke semasa, Sabah akan mempunyai sebuah institusi kepimpinan adat yang bukan sahaja dihormati oleh masyarakat, malah mampu menjadi rakan strategik Kerajaan dalam menyampaikan dasar, menyelesaikan masalah rakyat dan memacu pembangunan di peringkat akar umbi,” ujar beliau.