KOTA KINABALU: Tindakan lanjut terhadap seorang pelancong warga Croatia yang didakwa mendaki Gunung Kinabalu menggunakan laluan tidak rasmi tanpa permit akan ditentukan selepas siasatan selesai.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Taman-Taman Sabah telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Katanya, siasatan kini dijalankan pihak polis bersama Taman-Taman Sabah bagi menentukan tindakan selanjutnya terhadap pelancong terbabit.
“Buat masa ini, saya difahamkan pihak Taman-Taman Sabah telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
“Namun, saya difahamkan lelaki tersebut masih dalam rawatan. Jadi, pihak polis dan Taman-Taman Sabah menjalankan siasatan bagi menentukan tindakan selanjutnya, mungkin selepas beliau pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi temu bual berkaitan persiapan sambutan Hari Malaysia di sini, hari ini.
Jafry berkata, pihaknya kesal dengan kejadian berkenaan, khususnya tindakan menggunakan laluan tidak rasmi ketika melakukan pendakian di Gunung Kinabalu.
Katanya, kejadian itu perlu dijadikan pengajaran kepada orang ramai termasuk pelancong asing supaya sentiasa mematuhi laluan, peraturan dan prosedur ditetapkan ketika mendaki.
“Kita berasa amat kesal dengan kejadian di Gunung Kinabalu. Walaupun dia warga asing, ia merupakan satu pengajaran kepada orang awam supaya tidak menggunakan laluan tidak rasmi.
“Kita kesal dengan perkara itu, tetapi kita beri dia masa kerana dia masih dalam rawatan,” katanya.
Menurutnya, sebarang tindakan terhadap pelancong terbabit akan mengambil kira hasil siasatan pihak berkuasa serta keadaan kesihatannya ketika ini.
Jafry turut mengingatkan semua pendaki supaya mematuhi peraturan dan menggunakan laluan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini serta memastikan keselamatan sepanjang aktiviti pendakian.