KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengarahkan semua agensi berkaitan menggerakkan sepenuhnya aset dan tenaga bagi mempercepat operasi menyelamat serta bantuan kepada mangsa banjir yang melanda Tawau dan beberapa kawasan sekitarnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius situasi berkenaan dengan keutamaan diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa, pemindahan mangsa, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) dan penyaluran bantuan kepada penduduk yang terjejas.
“Keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk memastikan keselamatan nyawa rakyat, di samping semua mangsa menerima bantuan dan keperluan asas dengan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hajiji turut merakamkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terkesan akibat bencana banjir itu.
Beliau pada masa sama mengingatkan penduduk di kawasan yang terjejas dan berisiko supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta segera berpindah sekiranya diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga.
“Saya mendoakan agar keadaan kembali pulih dengan segera.
“Semoga semua mangsa dipermudahkan urusan, dilindungi daripada sebarang musibah dan seluruh anggota pasukan penyelamat diberikan kekuatan serta keselamatan dalam menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan semua bentuk bantuan disalurkan dengan segera kepada mangsa yang memerlukan.