Sabah Softwoods perkukuh kelestarian, kurangkan kebergantungan diesel

KOTA KINABALU : Sabah Softwoods Berhad (SSB) memperkukuhkan penekanan terhadap amalan kelestarian melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam operasi syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Datuk Dr Mohd Daud Tampokong berkata, inisiatif itu bukan sahaja berjaya mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan diesel secara ketara, malah turut menghasilkan penjimatan kos operasi yang signifikan.


“Pada masa yang sama, ia mencerminkan komitmen SSB dalam menyokong agenda pembangunan mampan, mengurangkan pelepasan karbon serta memperkukuhkan penggunaan tenaga hijau demi manfaat alam sekitar dan generasi akan datang.


“Sebagai contoh, bekalan tenaga elektrik untuk sebahagian besar operasi ladang di kawasan operasi kami di Kalabakankini dijana melalui loji biogas kami termasuk di Kilang Kelapa Sawit Kapilit dan Dumpas Palm Oil Mill.

“Harapan kami ialah dengan sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak, khususnya Yayasan Sabah selaku pemegang saham utama, SSB akan terus melangkah maju sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ditadbir urus dengan baik, berintegriti serta sentiasa relevan dengan perkembangan dan keperluan semasa,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.


Menurutnya, kunjungan itu bertujuan memaklumkan kepada Tun Musa mengenai perkembangan terkini SSB serta pencapaian syarikat dalam aspek kewangan, operasi, tadbir urus dan pembangunan mampan.


“Pihak pengurusan membentangkan prestasi kewangan syarikat bagi tempoh 2019 sehingga Jun 2026 yang memperlihatkan pertumbuhan memberangsangkan hasil pelaksanaan strategi perniagaan, kecekapan operasi serta amalan tadbir urus korporat yang kukuh,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan SSB antara penyumbang dividen terbesar kepada Kumpulan Yayasan Sabah dengan mengisytiharkan dividen sebanyak RM145 juta pada tahun 2025 dan jumlah keseluruhan dividen yang disumbangkan kepada Yayasan Sabah sejak tahun 2019 mencecah RM427 juta.


Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah SSB, Datuk Mohd Arsad Bistari, Pengarah-pengarah Syarikat Sabah SSB, Datuk Seri Dr Gulamhaidar Khan Bahadar, Datuk Freddy Lim Nyuk Sang, Datuk Joshua Ho Yee En, Datuk Abdul Halim Egoh.


Untuk rekod, SSB merupakan GLC pertama di Sabah yang berjaya mencapai pensijilan Integrated Management System (IMS) ISO, meliputi empat standard pengurusan utama iaitu Pengurusan Alam Sekitar, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pengurusan Kualiti serta Sistem Pengurusan Antirasuah./Penerangan-