Wanita warga asing antara dua ditahan miliki syabu di Tawau

TAWAU: Seorang wanita warga asing antara dua individu yang ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 2.45 petang di kawasan koridor Flat Sabindo menerusi operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 0.20 gram yang diserahkan sendiri oleh wanita berkenaan kepada anggota serbuan.

“Dalam serbuan berasingan kira-kira jam 2.20 petang di Kampung Tanjung Batu Keramat menerusi Ops Tapis, polis turut menahan seorang penganggur tempatan berusia 32 tahun.

“Pemeriksaan mendapati suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki syabu seberat 0.35 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes adalah 0.55 gram syabu.

“Kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Wilynton berkata, polis akan terus memperhebat operasi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membantu usaha polis membanteras jenayah itu.