TAWAU: Seorang kontraktor tempatan ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang baru berusia empat tahun dalam kejadian di daerah ini.
Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di perkarangan Hospital Tawau kira-kira jam 10.50 malam pada hari sama bagi membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihak polis menerima laporan kejadian pada jam 6.15 petang selepas seorang pegawai perubatan Hospital Tawau membuat laporan sebaik mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ibu mangsa membawa kanak-kanak itu ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau selepas anaknya mengadu bahagian sulitnya telah disentuh oleh bapanya.
“Susulan itu, pihak hospital bertindak membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan segera.
“Bertindak atas laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan serta menahan suspek pada malam yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan siasatan lanjut masih diteruskan, termasuk mendapatkan keterangan daripada suspek.
Wilynton turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya petugas Hospital Tawau, atas tindakan pantas dan profesional mengesan serta melaporkan kes berkenaan kepada polis.
Katanya, kerjasama itu membolehkan siasatan dimulakan tanpa berlengah, sekali gus memastikan kebajikan, keselamatan dan perlindungan mangsa terus menjadi keutamaan.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah seksual membabitkan kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang.
“Orang ramai yang mengesyaki berlaku sebarang bentuk penderaan atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak diminta segera menyalurkan maklumat kepada polis atau pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil bagi melindungi golongan berkenaan,” katanya.