Gangsa Komanwel bakar semangat Irene Jane Henry sasar emas

KOTA KINABALU: Kejayaan atlet angkat berat Sabah, Irene Jane Henry, meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel 2026 bukan penamat perjuangannya, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk memburu kilauan emas pada kejohanan akan datang.

Atlet berusia 21 tahun itu berkata, beliau akan terus berusaha meningkatkan prestasi sekiranya diberi peluang menyertai kejohanan antarabangsa pada masa hadapan.

“Kalau emas, boleh… saya akan usahakan,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menerima penghargaan atas pencapaiannya di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa, di sini, hari ini.

Mengulas kejayaan berkenaan, Irene mengakui berasa bangga kerana dapat menyumbang pingat yang mengharumkan nama Sabah.

Menurutnya, segala persiapan sebelum menghadapi temasya Sukan Komanwel berjalan lancar hasil sokongan berterusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Persediaan kami memang lancar. Semua terpenuhi daripada pihak MSN dengan ISN,” ujarnya.

Irene yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus membuktikan kecemerlangan dalam sukan mampu diseimbangkan dengan pencapaian akademik.

Malah, minat terhadap sukan angkat berat turut dikongsi dua adiknya yang kini mewakili Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), manakala seorang lagi adiknya aktif dalam sukan gimnastik.

Di sebalik kejayaan atlet kelahiran Tambunan itu, sokongan ibu bapanya menjadi antara faktor utama yang mendorong beliau terus melangkah ke pentas antarabangsa.

Ibunya, Roselin D. Joseph Dominic, 53, berkata beliau tidak menyangka anaknya mampu menghadiahkan pingat di pentas Sukan Komanwel, namun sentiasa percaya kepada kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan.

Katanya, sebagai seorang ibu, beliau sentiasa berdepan kebimbangan terutama apabila Irene mengalami kecederaan tangan ketika temasya Sukan SEA sebelum ini.

“Sebagai ibu, kebimbangan itu sentiasa ada, dia pernah mengalami kecederaan pada tangannya semasa sukan SEA dan semestinya rasa rindu sebab dia jauh dari kami kan.

“Tapi kami sentiasa memberi semangat supaya dia terus berusaha dengan lebih baik,“ ujar beliau.

Menurut Roselin, beliau dan suaminya sentiasa memberi kebebasan kepada anak-anak untuk memilih bidang yang diminati, namun menekankan kepentingan mengimbangi sukan dan pelajaran.

“Irene telah membuktikan kecemerlangannya dengan memperoleh keputusan 7A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat Purata Nilai Gred (PNG) 3.9 pada peringkat prauniversiti,” tambahnya.

Sementara itu, bapanya, Henry Peter Muji, 52, berkata minat Irene dalam sukan angkat berat bermula sejak di bangku sekolah rendah apabila mengikuti jejak sepupu-sepupunya.

Beliau berkata, sebagai bapa, beliau sentiasa memberi dorongan kepada semua anaknya untuk bergiat aktif dalam sukan kerana percaya aktiviti itu mampu membentuk disiplin, gaya hidup sihat dan membuka peluang untuk melangkah lebih jauh.

“Nasihat saya, teruskan bersukan tetapi jangan abaikan pelajaran kerana pendidikan tetap menjadi bekalan paling penting pada masa depan,” katanya.