KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merakamkan tahniah kepada atlet karate kelahiran Tambunan, Adeola Fay Robert yang menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Nizam berkata, kejayaan Adeola dalam acara Kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) itu amat membanggakan, khususnya selepas atlet berkenaan sebelum ini membawa nama Sabah pada SUKMA XXII Selangor 2026.
“Sejurus tiba di Jepun bersama delegasi Sabah, saya berkesempatan menghubungi Adeola melalui panggilan video untuk menyampaikan sendiri ucapan tahniah dan rasa bangga atas kejayaan luar biasa ini.
“Lebih membanggakan, belum lama dahulu beliau berjuang membawa nama Sabah di SUKMA XXII Selangor 2026, dan hari ini berdiri sebagai juara Asia membawa Jalur Gemilang ke tangga tertinggi,” katanya dalam satu hantaran di laman rasmi milik beliau.
Nizam turut menyifatkan kejayaan Adeola sebagai pencapaian yang boleh menjadi inspirasi kepada atlet muda Sabah untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Syabas Adeola. Teruskan melangkah lebih jauh dan menjadi inspirasi kepada atlet-atlet muda Sabah.
“Dari Tambunan, membawa nama Sabah, dan kini mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Katanya, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing di pentas lebih tinggi sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara.
Adeola sebelum ini mencipta sejarah apabila menghadiahkan emas pertama Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi kemenangan dalam acara kumite wanita bawah 55kg.
Adeola terlebih dahulu menewaskan wakil Kazakhstan, Bella Samasheva, 5-4 pada separuh akhir selepas mencatat kemenangan 9-1 ke atas Asrar Jasem dari Kuwait dan 8-7 terhadap Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan pada pusingan terdahulu.
Kejayaan itu turut meneruskan momentum positif Adeola selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025, selain menamatkan penantian skuad karate wanita Malaysia untuk meraih emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan