348,000 kg daging beku China, Hong Kong dirampas di Pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU: Sebanyak 348,000 kilogram daging beku dari China dan Hong Kong bernilai RM3.422 juta dirampas dalam operasi penguatkuasaan terhadap 12 buah kontena di Pelabuhan Sepanggar, di sini.

Ketua Pengarah Operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, hasil pemeriksaan mendapati 11 kontena mengandungi daging ayam beku, manakala satu lagi mengandungi daging khinzir.

“Keseluruhan 12 kontena itu mengandungi 348,000 kilogram daging beku dengan nilai dagangan kira-kira RM3.4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media AKPS yang berlangsung di Pelabuhan Sepanggar, pada Jumaat.

Antara kontena yang membawa 348 kg daging beku.

Menurutnya, operasi berkenaan merupakan lanjutan operasi pada Julai lalu, yang menyaksikan 14 kontena ditahan membabitkan nilai rampasan hampir RM3 juta.

“Jadi, kita mengambil keputusan untuk memeriksa 12 lagi kontena dan 12 kontena terbabit diperiksa selepas gagal membuat pengisytiharan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan,” jelasnya.

Tambahnya, kemasukan makanan atau makanan beku dari China dan Hong Kong ke Sabah tidak dibenarkan, selain terdapat kontena yang disyaki membuat pengisytiharan tidak benar.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967[Akta 235], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Suhaily turut memaklumkan, sejak April lalu, hampir 40 kontena berjaya ditahan dengan jumlah rampasan keseluruhan kira-kira RM6.7 juta.

“AKPS memandang serius sebarang cubaan membawa masuk dagangan secara tidak sah melalui pengikraran palsu atau apa-apa bentuk pelanggaran kawal selia di pintu masuk negara dan terus memperkukuh kawalan serta pemeriksaan di pintu masuk negara melalui pendekatan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan,” ujarnya.