LAHAD DATU: Polis menahan empat individu dan merampas 92 kilogram (kg) serbuk ketum serta sejumlah kecil dadah disyaki syabu dalam Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata operasi itu membawa kepada rampasan 92 bungkusan serbuk ketum dengan anggaran berat keseluruhan 92kg bernilai kira-kira RM9,200.
Beliau berkata, polis turut merampas 0.12 gram dadah disyaki syabu serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
“Daripada empat individu yang ditahan, seorang suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan Methamphetamine (METH) berdasarkan ujian saringan awal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dzulbaharin berkata, semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan polis akan memohon perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Beliau menegaskan, BSJND IPD Lahad Datu akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dalam usaha membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah dan bahan terlarang.
“Polis komited mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan ini demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.