TAWAU: Tiga individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan dalam tiga serbuan berasingan menerusi Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, semalam.
Operasi bermula seawal tengah malam di Kampung Icebox sebelum pasukan polis meneruskan tindakan di kawasan Jalan Kampung Batu 4, Jalan Apas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 12.05 tengah malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Icebox.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan selepas pemeriksaan mendapati suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu.
“Suspek dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 0.10 gram dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, hanya lima minit kemudian, kira-kira jam 12.10 tengah malam, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 47 tahun di kawasan tepi jalan Kampung Icebox.
Katanya, suspek kedua ditahan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.08 gram.
“Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, operasi diteruskan kira-kira jam 12.30 tengah malam di kawasan tepi Jalan Kampung Batu 4, Jalan Apas, dengan polis menahan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 20-an.
“Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5.15 gram.
“Suspek ketiga disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurutnya, keseluruhan tiga serbuan itu membawa kepada rampasan syabu seberat 5.33 gram.
Rosdi berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah secara berterusan.
“Polis tidak akan memberi ruang kepada mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran bahan terlarang ini.
“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.