PITAS: Cubaan menyeludup kira-kira 5,000 liter petrol bersubsidi ke negara jiran gagal selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu kawasan tepi sungai Kampung Mapan-Mapan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, tiga lelaki berusia antara 36 hingga 39 tahun ditahan ketika dipercayai sedang memindahkan tong berisi petrol bersubsidi menggunakan bot di kawasan muara sungai berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil serbuan turut membawa kepada rampasan 38 tong drum, tiga bot kayu berserta enjin dan kelengkapan bot.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM100,000.
“Kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta ketirisan barangan kawalan bersubsidi.
Ahmad Amri berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, pihaknya merekodkan sebanyak 100 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan 92 tangkapan.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh berkenaan melebihi RM25.2 juta.
“PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam penyelewengan dan penyalahgunaan barangan bersubsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya cubaan membawa keluar barang kawalan bersubsidi dari negara ini.
Katanya, kerjasama masyarakat dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa turut penting bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan.