SANDAKAN: Seorang pekerja kontraktor elektrik maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.53 malam, mangsa, Jai, 30, ditemukan masih berada di atas tiang elektrik ketika pasukan bomba tiba di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum tujuh anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba pada jam 8.03 malam dan mendapati seorang lelaki dipercayai pekerja kontraktor elektrik terkena renjatan ketika melakukan kerja pemasangan tiang elektrik.
“Mangsa masih berada di atas tiang ketika pasukan tiba dan operasi menyelamat hanya dijalankan selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity bagi memastikan keselamatan anggota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk menurunkan mangsa dari tiang berkenaan.
“Mangsa berjaya diturunkan sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Jimmy berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.40 malam selepas lokasi disahkan selamat dan tiada lagi risiko,” katanya