TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas rokok disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM601,000 dalam serbuan di Jeti Kampung Sri Aman, Batu 3, di sini, awal pagi Ahad.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan kira-kira jam 2.20 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan pasukan.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot berkenaan mengandungi kotak berisi rokok disyaki tidak bercukai.
“Rampasan membabitkan 250,000 batang rokok putih jenama Premium International bernilai RM375,000 dan 48,000 batang rokok kretek jenama Menara Dunia bernilai RM86,400,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad Amri berkata, turut dirampas dua bot fiber dan dua enjin bot Yamaha berkuasa 200 kuasa kuda (HP), menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM601,400.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, individu yang dipercayai terbabit bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut.
“Usaha mengesan mereka tidak dapat diteruskan berikutan keadaan persekitaran yang gelap,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 55 kes di bawah Akta Kastam 1967 direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM7,337,542.61.
“Seramai 39 individu berjaya ditahan dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan kegiatan penyeludupan.
“Tindakan tegas dan berterusan akan dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.