KOTA KINABALU : Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) muncul juara Pertandingan Sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M.
Manakala, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah di tempat kedua disusuli
University College Sabah Foundation (UCSF) di tempat ketiga bagi kategori Kementerian/Jabatan Kerajaan/Swasta/ Institusi Pengajian Tinggi.
Bagi kategori Pertubuhan pula, Ikatan Ukhwah Prihatin Sabah muncul johan diikuti Badan Dakwah Daerah Papar di tempat kedua dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di tempat ketiga.
Kategori Komuniti pula menyaksikan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu muncul johan dengan manakala Masjid Nurul Ihsan Kampung Ketiau, Putatan dan Masjid Jamek Pekan Mesapol masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, Pondok Fi Dzilalil Quran muncul johan bagi kategori Sekolah diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengiran Omar II Sipitang di tempat kedua dan SMK Agama Tun Ahmadshah di tempat ketiga.
Johan setiap kategori menerima wang tunai RM8,000, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM5,000 dan RM3,000, berserta piala iringan dan sijil penghargaan.
Bagi Anugerah Kontinjen Terbaik pula, 5 Divisyen muncul pemenang bagi kategori Kementerian/Jabatan Kerajaan/Swasta/Institusi Pengajian Tinggi, manakala Masjid An-Nur Taman Putera Jaya, Telipok pula dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik bagi kategori Komuniti masing-masing menerima RM3,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah tahun ini bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” dan menghimpunkan 96 kontinjen dengan kira-kira 10,000 kehadiran.
Daripada jumlah itu, 75 kontinjen menyertai pertandingan, manakala 21 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan yang bermula dari Padang Merdeka menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sejauh 2.3 kilometer.
Dalam majlis sama, Mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Datuk Alidin @ Ahmad Othman dan Mantan Pengarah Audit Negeri Sabah, Datuk Patimah Ramuji masing-masing menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M bagi kategori lelaki dan wanita.
Kedua-dua penerima menerima wang tunai RM20,000 daripada Kerajaan Negeri Sabah, piala iringan, jam tangan sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, tablet sumbangan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), telefon pintar sumbangan Kumpulan Sawit Kinabalu dan sijil penghargaan.